Friday 23 December 2011

Gaya Hidup

Amalkan Cara Hidup Sihat
Kunci untuk sihat sepanjang hayat
Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan cara hidup sihat:Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan cara hidup sihat:
  • Makan secara sihat
  • Tidak merokok
  • Lakukan aktiviti fizikal
  • Belajar menangani stress
Faedah cara hidup sihat:
  • Meningkatkan status kesihatan anda
  • Mengurangkan risiko anda mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, serangan jantung, strok (angin ahmar) dan tekanan darah tinggi.
  • Membuat anda kelihatan dan berasa lebih baik
  • Membolehkan anda memiliki stamina dan keupayaan lebih untuk menikmati kehidupan..
Makan Secara Sihat
  • Nikmati pelbagai jenis makanan
  • Makan mengikut waktu yang teratur (Tiga waktu makan utama – sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam)
  • Pilihlah makanan harian berasaskan Piramid Makanan.
  • Pilih makanan yang rendah gula, garam dan lemak.
Contoh 1 sajian::
Bijirin, produk bijirin dan ubi
  • ½ cawan nasi (putih atau perang)
  • ½ cawan mihun/mi/pasta/lain-lain jenis mi (direndam)
  • 1½ keeping capati
  • ½ cawan keledek/ubi kayu/keladi
Sayur-sayuran
Buah-buahan
  • ½ cawan sayur hijau tua bersama batangnya (dimasak)
  • ½ cawan sayur buah/berakar (dimasak)
  • ½ biji jambu berukuran sederhana
  • 1 hiris betik/nanas
Susu, dadih dan keju
Ikan, ayam dan daging
  • 1 gelas susu
  • 1 cawan dadih
  • 1 keping keju
  • 1 ketul paha ayam saiz sederhana
  • 1 ketul paha ayam saiz sederhana
  • 2 ketul daging tanpa lemak berukuran kotak mancis
  • 5 sudu besar ikan bilis

Tidak Merokok
Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda, mendapat lebih daripada 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, emfisima, penyakit jantung dan angina ahmar. Merokok boleh menjejaskan hampir semua organ dan tisu di dalam badan. Asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia iaitu 200 beracun dan 63 boleh menyebabkan kanser (karsinogenik). Kekal sihat! Gunakan kaedah yang betul untuk berhenti merokok:
  • Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
  • Yakinkan diri
  • Buat nota peringatan
  • Katakan pada diri anda ‘Aku bukan perokok’
  • Tumpukan pada hari ini
  • Sentiada berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Lawan keinginan untuk merokok
  • Gunakan Terapi Gantian Nikotin (NRT)
  • Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok:
Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok
    • Melengahkan-lengah
    • Minum banyak air
    • Menarik nafas panjang
    • Membuat sesuatu
    • Menjauhkan diri dari tempat orang merokok
    • Mengunyah sesuatu
    • Membasuh tangan
    • Mandi dengan kerap
    • Melakukan senaman regangan
    • Memohon doa
Lakukan Aktiviti Fizikal

Aktiviti fizikal merangkumi semua pergerakan badan yang menggunakan tenaga dalam kehidupan seharian seperti bekerja, berekreasi, bersenam dan bersukan. Hidup tidak aktif boleh mengakibatkan kegemukan dan meningkatkan risiko mendapat penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan sakit sendi.
Lakukan aktiviti fizikal
  • Lakukan aktiviti fizikal ringan hingga sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari: tempoh aktiviti ini boleh dijumlahkan sepanjang hari (sekurang-kurangnya 10 minit setiap kali)
  • Pilih aktiviti fizikal yang sesuai dengan anda
Contoh aktiviti fizikal yang boleh dilakukan setiap hari:
AKTIVITI RINGAN
60 minit setiap hari
AKTIVITI SEDERHANA
30 minit setiap hari
  • Berjalan kaki
  • Aktiviti regangan
  • Aktiviti berkebun yang ringan
  • Berjalan laju
  • Berbasikal
  • Berenang
  • Menari
  • Lompat tali
  • Aerobik
  • Berlari-lari anak
  • Turun naik tangga
Bersenam untuk kesihatan jantung. Gunaka FITT sebagai panduan.
F
Frequency : (Kekerapan)
3 – 5 kali seminggu
I
Intensity (Effort) : (Kehebatan)
Sehingga anda berpeluh dan dapat menarik nafas panjang dengan selesa.
T
Time : (Masa)
Sekurang-kurangnya 20 minit setiap kali (tidak termasuk tempoh memanas dan menyejukkan badan.
T
Type : (Jenis)
Aerobik, bersukan Contoh: bola sepak, bola jarring, badminton, lompat tali, berbasikal.
Tangani Stres
Kemarahan adalah satu masalah utama emosi akibat stres. Stres dialami oleh semua orang sama ada di rumah, sekolah atau tempat kerja. Stres, apabila keterlaluan, berpanjangan dan anda tidak ada kemampuan daya tindak akan membawa kepada kemarahan.
Apa yang harus dilakukan apabila anda marah:
  • Menyedari yang anda sedang marah… Katakan: ‘Saya sedang marah!’
  • Bertenang...kira hingga sepuluh, tarik nafas panjang dan mengucap
  • Kenal pasti kenapa anda marah
  • Cuba dengar penjelasan orang lain
  • Anda perlu beredar jika tidak dapat mengawal kemarahan
  • Berbincang dengan orang lain jika tidak mampu mengendalikan kemarahan
  • Membiasakan diri memaafkan – menerima kenyataan bahawa manusia juga melakukan kesalahan
Cara mengurangkan kemungkinan untuk marah:
  • Berfikir secara positif
  • Jangan salahkan orang lain apabila berlaku kesilapan
  • Belajar menyukai diri sendiri
  • Belajar bertenang
  • Adakan hobi
  • Luangkan masa untuk keluarga, kerja dan beriadah
  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Dapatkan teman untuk meluahkan masalah
  • Bersifat tegas/asertif
  • Tetapkan matlamat realistik untuk diri anda

Wednesday 21 December 2011

RITMA SIRKADIAN, sedarilah kehadirannya...

Tubuh celaru
Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
bmnews@bharian.com.my
2011/10/23


Gangguan kitaran dalaman badan Ritma Sirkadian punca murung, jejas kehidupan

Kes 1
AWALNYA, Wei Ling (bukan nama sebenar), 26, tidak menganggap kesukaran dan gangguan tidur dialaminya satu masalah kerana beranggapan keadaan itu normal bagi kebanyakan orang yang melakukan kerja tambahan.
Punca utama masalah kemurungan adalah gangguan dikenali Ritma Sirkadian iaitu kecelaruan kitaran dalaman tubuh seseorang yang berfungsi mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel. - Profesor Dr Mohamad Hussain Habil
Menceritakan rutin kehidupannya, dia pada mulanya bertugas di sebuah syarikat mengikut waktu pejabat jam 9 pagi hingga 5 petang, namun apabila mendapat tawaran melakukan kerja sampingan pada malam hari dalam industri hiburan yang cukup mencabar dan menarik, dia mengambil peluang itu.

Jadual kerjanya dari awal pagi sehingga lewat malam itu menyebabkan Wei Ling mula mengalami tabiat tidur tidak normal sehingga mula menjejaskan tumpuan dan aktiviti seharian.

Bagaimanapun, dia tidak menghiraukan keadaan itu dan meneruskan rutin harian sehingga menyedari keadaan tubuh, perlakuan dan mindanya semakin terjejas.

Dia bukan saja tidak mampu fokus dalam setiap kerja dilakukan, tiada selera makan, kurang minat bersosial bersama rakan dan sentiasa rasa diri kurang bersedia, tetapi juga kegembiraannya mula bertukar menjadi kemurungan.
Menyedari dirinya berdepan masalah kesihatan yang semakin kritikal, Wei Ling sedar dia perlu mendapatkan bantuan doktor.

Pada awalnya, dia berjumpa dengan doktor biasa yang memberinya ubat-ubatan untuk membantu mengatasi masalah dialami terutama memberinya tidur lebih lena, namun ia tidak menunjukkan kesan terbaik.

Kemudian, dia sekali lagi bertemu doktor biasa yang merujuk kesnya kepada seorang pakar psikiatrik dan dia dikesan mengalami simptom masalah kemurungan.

Selepas menjalankan beberapa ujian, pakar psikiatrik berkenaan mengesahkan Wei Ling berdepan masalah kemurungan tahap awal dan beliau terus merawatnya melalui kaedah kaunseling dan perubatan.

Beliau turut menyarankan supaya berhenti bekerja tambahan di waktu malam kerana segelintir orang sepertinya tidak sesuai melakukannya banyak kerja kerana kitaran ritma sirkadian tubuh mereka sukar menerima corak perubahan itu.

Akur dengan nasihat doktor, selepas tiga hingga empat bulan, masalah kemurungan dialami Wei Ling akhirnya pulih dan dia mampu menjalani kehidupan normal dan gembira bersama keluarga, rakan dan orang sekeliling.

Kes 2

RAHMAN Abdul Rahim (bukan nama sebenar), 51, adalah seorang jurutera berjaya di sebuah syarikat ternama yang menjalani kehidupan cukup gembira dan bahagia bersama isteri serta dua orang anak perempuan.

Keperluan tugasnya yang cukup sibuk ditambah sikapnya yang sangat kuat menjadikan dia adalah orang pertama sampai ke pejabat dan terakhir pulang ke rumah. Keadaan itu baginya adalah suatu kebiasaan asalkan kerjanya dapat diselesaikan mengikut waktu ditetapkan serta mencapai sasaran tugas dikehendaki.

Sikap komited terhadap tugas dan kedudukannya sebagai jurutera kanan membuatkan dia dipilih mengetuai pasukan kakitangan untuk menyediakan kertas kerja berhubung satu projek mega.

Ekoran sikapnya yang meletakkan jangkaan tinggi dalam sesuatu tugasan untuk mendapatkan hasil terbaik, dia mendesak ahli pasukan supaya bekerja keras namun tetap tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan mereka walaupun ia beberapa kali diperbaiki.

Dia menganggap dirinya seorang ketua tidak berguna, tidak mampu menghasilkan kertas kerja terbaik, merasa teruk, resah dan cepat letih.

Keadaan itu menjadikan Rahman kurang keyakinan untuk ke pejabat dan berdepan bos serta rakan-rakan kerja yang sering menganggapnya tidak mampu mengetuai pasukan.

Ia juga menyebabkan dia mengalami kebimbangan, masalah tidur, hilang selera makan, tidak mempunyai harapan, sering memohon cuti kerja dan mengambil cuti sakit.

Lebih teruk, ketika di rumah, dia lebih banyak menghabiskan masa terperap di dalam bilik, pura-pura tidur dan hanya keluar bilik apabila isteri serta anak-anaknya tiada di rumah.

Atas desakan berterusan daripada isterinya supaya bertemu pakar psikiatrik, dia akhirnya bersetuju dan bertekad untuk mengatasi masalah itu.

Hasil pengalaman dan ujian tahap kesihatan yang dijalankan pakar psikiatrik, beliau mengesahkan Rahman mengalami masalah kemurungan serius sebelum dia dirawat melalui penggunaan ubat-ubatan, bagi membaikpulih saraf berhubung gangguan Ritma Sirkadian.

Dalam tempoh sembilan bulan, Rahman diberi terapi yang mampu membantunya mengatasi masalah itu dan memberinya kehidupan gembira, bahagia dan normal seperti sebelum ini.


DUA kes di atas adalah senario yang membelenggu kehidupan dan diri penghidap kemurungan. Takrif kemurungan itu adalah satu bentuk gangguan perasaan atau emosi yang dialami seseorang sama ada di dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang sehingga bertahun-tahun lamanya.

Namun, hakikatnya, penghidap di atas dan juga mungkin ada lebih ramai lagi yang tidak menyedarinya, masalah mereka bukan berkisar kepada aspek emosi semata-mata sebaliknya lebih daripada itu. Ini kerana mereka turut mengalami satu atau lebih simptom gangguan ‘circadian rhythm’ atau ritma sirkadian seperti rasa sedih dan kosong, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, cepat letih, kurang bertenaga, mudah berputus asa serta menganggap diri tidak berguna.

Mereka juga mungkin mengalami gangguan tidur, hilang selera makan, penurunan berat badan, mudah marah, berasa tidak tenteram, menganggap mati lebih baik daripada hidup, kurang fokus, sukar membuat keputusan dan simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit badan serta masalah penghadaman.

Kajian kesihatan beberapa tahun lalu, mendapati masalah kemurungan dialami kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia dan dijangka meningkat berikutan persaingan ekonomi.

Lebih membimbangkan, kajian kesihatan mental direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, masalah keempat paling ramai dihidapi penduduk dunia itu turut dialami kanak-kanak.

Andai masalah kemurungan ini tidak dirawat segera dan sewajarnya, ia boleh mengakibatkan perubahan negatif kepada penghidapnya dari segi kelakuan serta pemikiran sehingga menyumbang kepada kematian akibat bunuh diri.

Bagaimanapun di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat sedari awal.

Pakar psikiatris dan Bekas Presiden Persekutuan ASEAN berkaitan Psikiatrik dan Kesihatan Mental (AFPMH), Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata sebanyak 82 peratus daripada penghidap masalah kemurungan yang tampil menjalani rawatan daripada doktor biasa, pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala masalah kemurungan.

“Sebanyak 18 peratus penghidap hanya diberi ubat bagi menangani simptom yang dialami kerana doktor biasa tidak mempunyai kepakaran mengenalpasti atau merawat secara tepat masalah psikiatrik dan kesihatan mental.

“Sebenarnya punca utama masalah kemurungan adalah gangguan dikenali Ritma Sirkadian iaitu kecelaruan kitaran dalaman tubuh seseorang yang berfungsi mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel.

“Gangguan Ritma Sirkadian yang dialami ini mampu mengubah kitaran aktiviti individu sama ada ketika berjaga atau tidur, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh.

“Akibat perubahan ini yang biasanya disebabkan banyak faktor seperti tekanan persekitaran, keturunan, personaliti pesimis iaitu tahap keyakinan rendah dan penyakit, seseorang mula berubah menjadi murung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Media Malaysia Servier bertemakan ‘Penetapan Semula Ritma Sirkadian Memberikan Dimensi Baru Kepada Masalah Kemurungan’ anjuran syarikat farmaseutikal Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental.

Selain Mohamad Hussain, bengkel itu disertai dua ahli panel iaitu Perunding Psikiatrik, Jabatan Psikiatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain dan Perunding Psikiatrik Swasta, Dr Ting Joe Hang.

Mengulas lanjut, Mohamad Hussain berkata, penting bagi individu memahami secara mendalam kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan supaya ia mampu dikesan dan dirawat segera.

“Andai anda mengalami simptom kemurungan, segeralah berjumpa dengan pakar psikiatrik bagi memastikan anda mampu dirawat secara berkesan dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Jangan dapatkan rawatan dari pakar perubatan biasa kerana hanya pakar psikiatrik mampu memahami dan menyelesaikan masalah anda mengikut jenis rawatan paling sesuai.

“Antara rawatan diberikan selain perbincangan pakar dan penghidap adalah ubat-ubatan anti kemurungan yang menumpukan gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) dan penggunaan agomelatine yang memfokuskan saraf penerima melatonergic di dalam otak,” katanya.

Namun, katanya, pada masa sama, orang ramai perlu membuang stigma bahawa individu yang bertemu pakar psikiatrik adalah gila kerana kemurungan bukan penyakit mental.

“Stigma itu hanya membantutkan niat seseorang bertemu pakar psikiatrik dan menyebabkan rawatan sukar diberi selain menambah trauma pengidap,” katanya.

Kemurungan, jelasnya, bukan masalah ringan dan memerlukan perhatian serta rawatan sewajarnya bagi memastikan penghidap tidak mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius.

INFO: Simptom kemurungan

  • Perasaan sedih dan kosong

  • Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran

  • Cepat letih

  • Menganggap diri tidak berguna

  • Kurang bertenaga

  • Mudah berputus asa

  • Hilang selera makan

  • Mengalami gangguan tidur

  • Penurunan berat badan

  • Kerap marah

  • Perasaan tidak tenteram

  • Menganggap mati lebih baik daripada hidup

  • Kurang fokus

  • Sukar membuat keputusan

    Kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan

  • Perubahan Mood Harian
    Kemurungan di waktu pagi dan keadaan mood yang tidak normal

  • Corak Aktiviti Siang Hari
    Kurang bertenaga, tumpuan rendah, waktu makan tidak teratur

  • Pengurusan Malam Hari
    Sukar tidur, gangguan ketika tidur kerana kerap terjaga serta bangun awal

  • Konsentrasi Terjejas
    Keletihan pada siang hari dan mengantuk.

  • Monday 19 December 2011

    Jangan Ambil Mudah

    Pembunuh si kecil
    ~sumber: bminggu@bharian.com.my
    2011/11/20

    SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu.
    Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi.
    "Ada kes seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi. - Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Pediatrik
    Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

    Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua.

    Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.

    Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa.
    Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.

    “Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu.

    “Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit.

    “Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.

    Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.

    “Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan.

    “Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.

    “Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.

    Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.

    “Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya.

    “Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.

    Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik.

    Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.

    Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.

    “Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.

    “Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.

    “Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.

    INFO Pneumonia
    Golongan berisiko:


    -Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah

    -Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas

    -Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids

    -Penghidap masalah kesihatan yang kronik

    -Individu di kawasan sesak atau kotor

    -Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin  

    Simptom


    -Demam panas

    -Batuk berkahak atau tanpa kahak

    -Sakit dada

    -Tiada selera makan
    -Rasa tidak sihat

    -Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)

    -Pernafasan laju atau tercungap-cungap

    -Sukar bernafas

    -Muntah

    -Cirit-birit 

    Antara langkah pencegahan


    -Menjalani gaya hidup sihat

    -Mengutamakan kebersihan diri

    -Mengamalkan penyusuan susu ibu

    -Elak di kawasan sesak

    -Menutup hidung ketika cuaca buruk

    Friday 16 December 2011

    Kisah Benar Pesakit Kanser Hati

    Pembunuh senyap
    ~sumber dari bharian.com.my
    2011/07/03

    Ismail Zakri aktif senam, jaga badan pasrah ketumbuhan disah barah hati tahap empat 
    PROFIL kesihatan dirinya menunjukkan dia lelaki sihat, apalagi bergelar pelari maraton. Malah Ismail Zakri Md Khalid, 62, menjalani kehidupan berkualiti dan sihat sehinggalah dia tiba-tiba rebah dan pengsan pada November 2008. Ketika itu, keluarganya hampir pasti ia akibat serangan jantung, namun masih sukar menerima hakikat kerana keadaan fizikal dan tahap kecergasan bapa tiga anak itu begitu memuaskan.
    “Bukan saja agak cerewet mengenai pemakanan dan diet, saya juga gemar berjoging... jarang sekali ponteng gimnasium untuk bersenam. Malah aktiviti sosial bersama rakan sentiasa terisi dan boleh dikatakan saya dikelilingi insan tersayang dan rakan-rakan setiap masa.
    “Bayangkan selama 25 tahun, saya bukan saja aktif menyertai maraton tetapi juga berjaya mengekalkan berat badan pada 70 kilogram secara konsisten,” katanya ketika ditemui pada majlis perhimpunan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ anjuran Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia sempena Hari Bapa, baru-baru ini.

    Biarpun nampak sihat dan hidup aktif, dari segi latar belakang kesihatan, Ismail dikesan menghidap Hepatitis B sejak 1985. Walaupun tidak menjalani rawatan, dia memantau keadaan hatinya dari semasa ke semasa dan dalam keadaan terkawal. Ismail mengakui terlalu kerap mengambil aspirin setiap kali hidung berair atau selesema.

    Selepas menjalani ujian imbasan, doktor mengesan ketumbuhan yang besar begitu hampir dengan jantungnya. Pembedahan jantung terbuka terus dijalankan dan keluarga terkejut dengan hasilnya. Ketumbuhan yang dikesan rupanya berasal dari hati dan sudah terlambat untuk sebarang pembedahan kerana sudah berada pada tahap empat.

    Bukan itu saja, kemoterapi juga sudah tidak sesuai kerana faktor usia. Pilihan yang ada adalah menyertai program terapi anti barah secara oral, Sorafenib.
    “Berhadapan hakikat saya kini penghidap barah hati tahap empat terlalu sukar untuk ditelan, pilihan rawatan yang ada hanyalah ubat anti barah oral, sorafenib yang disarankan pakar. Mujur isteri, anak-anak dan rakan-rakan sentiasa di sisi untuk memberikan doa, semangat serta dorongan.

    “Tiada pilihan lain, saya hanya kuatkan diri dan serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

    Pada Februari lalu, Ismail mula menyertai program percubaan sorafenib, tetapi mengalami kesan sampingan awal iaitu pendarahan dalam perut lalu cubaan peringkat awal itu dihentikan. Dia beralih mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, namun pakar di hospital berkenaan tetap menyarankan program rawatan anti barah sorafenib.

    “Anak-anak membantah cadangan itu kerana kesan sampingan serius yang pernah saya lalui. Saya faham perasaan mereka yang tidak mahu melihat saya menderita, namun hati saya akan tambah parah jika tidak dirawat segera. Lebih membimbangkan lagi tubuh akan bertambah lemah dan jangka hayat bertambah singkat,” tambahnya dalam nada sayu.

    Ismail percaya dengan program berkenaan dan sanggup menghadapi segala macam kesan sampingan asalkan dia boleh hidup lebih lama dan punya lebih peluang untuk bersama insan tersayang.

    Seperti dijangka, biarpun mengalami kesan sampingan seperti kulit melepuh, dia tabah dan cekal meneruskan rawatan. Lama kelamaan, kesan sampingan mula berkurangan dan kini Ismail mampu menikmati hidup lebih berkualiti.

    “Sejak disahkan menghidap barah hati, hidup saya berubah sepenuhnya terutama selepas empat bulan mengikuti program sorafenib. Hubungan dengan anak-anak juga tambah akrab dan saya mahu mereka menerima hakikat bahawa biarpun ada perkara tidak mungkin dapat diubah, mereka boleh sentiasa berdoa dan berharap,” katanya.

    Ismail berharap sesiapa saja yang berhadapan penyakit serius atau apa saja masalah supaya menanam sikap positif, tidak putus asa berusaha, berdoa dan akhirnya reda dengan ketentuan Allah SWT.
    tamat

    Rawatan bantu pesakit barah hati, ringan beban kewangan

    HEPATOCELLULAR Carcinoma (HCC) atau barah hati meragut nyawa hampir 610,000 penduduk dunia setiap tahun. Ia menyerang lebih ramai lelaki, mencecah tiga kali berbanding wanita. Di Malaysia, barah hati adalah barah kelima paling biasa dihidapi lelaki, mencatatkan 5.7 kejadian bagi setiap 100,000 penduduk.

    Penyakit ini biasanya dihidapi lelaki berusia 50 hingga 60 tahun terutama di beberapa bahagian benua Afrika dan Asia berbanding utara atau selatan Amerika dan Eropah.

    Tidak seperti barah hati metastatik, HCC tidak bermula dari organ lain - seperti barah payu dara atau kolon - dan mula merebak ke hati. Dalam kebanyakan kes, punca biasanya adalah parut pada hati atau chirrhosis.

    Chirrhosis boleh disebabkan oleh alkohol (penyebab utama di Amerika Syarikat), masalah auto imun, penyakit yang menyebabkan radang berpanjangan di hati, Hepatitis B atau C dan terlalu banyak iron dalam tubuh (hemochromatosis).

    Pesakit yang menghidap Hepatitis B atau C berhadapan risiko mendapat barah hati walaupun tidak mengalami chirrhosis.

    Barah hati sukar dirawat kerana kemoterapi biasa tidak berkesan. Ia hanya boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal sebelum merebak dan jika pesakit cukup sihat untuk menjalani pembedahan.

    Bagaimanapun pembedahan selalunya tidak dapat dilakukan kerana penyakit dikesan terlalu lewat disebabkan gejalanya yang hanya dilihat di peringkat lanjutan. Ramai pesakit meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis dan kerana itu juga barah hati dikenali sebagai pembunuh senyap.

    Apabila seseorang disahkan menghidap HCC, jangkaan untuk rawatan yang berkesan agak tipis kerana hakikatnya hanya 10 hingga 20 peratus HCC yang boleh dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sekiranya barah tidak dapat dibuang sepenuhnya, penyakit ini biasanya boleh membawa maut dalam masa tiga hingga enam bulan.

    Kelangsungan hidup berbeza mengikut pesakit dan dalam kes tertentu, jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga enam bulan. Antara komplikasi yang dihadapi adalah pendarahan dalam perut, kegagalan hati dan merebaknya (metastasis) carcinoma.

    Pakar Perunding Onkologi, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata buat masa ini sorafenib adalah satu-satunya rawatan anti barah oral yang boleh didapati dan program NexPAP yang dilancarkan hasil kerjasama Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia bertujuan membantu membawa perubahan ke dalam hidup pesakit dan keluarga mereka.

    “Dengan pilihan rawatan berkesan seperti ubat sorafenib, kami boleh membantu membaiki peluang pesakit untuk hidup dan meringankan beban kewangan untuk kos rawatan,” katanya pada majlis meraikan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ sempena Hari Bapa, baru-baru ini.

    Sebagai satu-satunya ubat oral yang diluluskan Kementerian Kesihatan untuk merawat barah hati, sorafenib salah satu kelas baru terapi barah yang bertindak dengan mensasarkan dan menyekat protein isyarat dalam sel untuk menghentikan pertambahan sel tumor dan juga menyekat bekalan darah ke tumor.

    Terapi dengan sasaran khusus ini ditujukan kepada sel barah dan boleh dikatakan tidak menjejaskan sel biasa.

    HCC mungkin tidak dapat diubati namun ia boleh dicegah antaranya dengan merawat virus Hepatitis B yang mampu mengurangkan risiko. Mengikuti jadual vaksin Hepatitis B ketika kanak-kanak mampu mengurangkan risiko barah hati pada masa depan.

    Elak pengambilan alkohol berlebihan, malah ada pesakit tertentu yang mendapat manfaat daripada ujian saringan hemochromatosis. Sekiranya anda mengalami hepatitis kronik atau chirrhosis, saringan dan pemeriksaan berkala dengan ultrasound hati atau dengan mengukur tahap alpha fetoprotein darah dapat membantu mengesan barah di peringkat awal.

    Mereka yang mahu mengikuti Program NexPAP, boleh menghantar permohonan disertakan surat rujukan doktor kepada Yayasan Hati Malaysia. Maklumat lanjut Yayasan Hati Malaysia di talian 03-78426101.

    INFO: Antara simptom barah hati




  • Hilang berat badan






  • Hilang selera makan






  • Terlalu kenyang walau makan sedikit






  • Ketulan keras sebelah kanan di bawah tulang rusuk






  • Sakit sekitar bahu kanan






  • Kuning kehijauan pada kulit dan mata (jaundice)






  • Kurang selesa, rengsa bahagian atas perut sebelah kanan






  • Kelesuan.







  • Trauma EKZEMA

    Penghidapnya sengsara akibat desakan menggaru, kulit luka

    RAMAI menyangkakan persekitaran atau cara hidup yang tidak mengutamakan kebersihan sebagai penyebab terjadinya jangkitan atau kegatalan kulit. Namun, hakikatnya, persekitaran yang terlalu bersih juga boleh menyebabkan jangkitan, kegatalan atau alahan kepada kulit.
    Penyakit ekzema, kegatalan atau radang kulit misalnya, lebih banyak ditemui di negara maju, yang kebiasaan rakyatnya mengambil berat mengenai kebersihan. Bilangan penghidap ekzema yang tinggi dicatatkan di negara maju sejak tiga dekad yang lalu.
    “Ia barangkali disebabkan persekitaran terlalu bersih di negara maju hingga membuatkan sistem imun badan seseorang itu malas, seterusnya tidak dapat membezakan antara unsur baik ataupun jahat.

    “Sistem imun yang malas ini akan bertindak balas dengan setiap bakteria yang ada hingga membuatkan seseorang terlampau sensitif dan mudah mendapat alahan,” kata Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen menentang ekzema di Malaysia,‘United Against Itch’, anjuran LEO Pharma baru-baru ini.

    LEO Pharma, sebuah syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan dari Denmark bekerjasama dengan doktor tempatan dan antarabangsa untuk menentang ekzema, penyakit kulit yang dihidapi dua daripada 10 rakyat Malaysia, namun boleh dirawat. Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.
    Mengulas lanjut masalah ekzema, Dr Leong berkata, berdasarkan pemantauan penyelidik, ada kaitan antara kebanyakan pesakit ekzema dengan tahap pembangunan negara. Sebagai contoh, di Malaysia, sejumlah 12.6 peratus penghidap ekzema adalah murid sekolah berbanding Indonesia, kira-kira 3.7 peratus. Fenomena ini turut dilihat di bahagian Malaysia Timur yang mana kadar penghidapnya lebih rendah jika dibandingkan dengan Semenanjung.

    Dr Leong berkata, antara ciri ekzema adalah kegatalan kulit yang membuatkan pesakit sentiasa ingin menggaru. Kulit penghidap ekzema juga sangat kering kerana tiada lapisan yang menahan cecair daripada dalam kulit.

    Malah, ada interaksi dinamik antara genetik dan persekitaran sebagai pencetus penyakit ekzema selain faktor tabiat gatal dan menggaru, cuaca panas, kering, peluh, bakteria, sabun atau pencuci yang mengeringkan kulit, alahan makanan dan hama.

    “Seseorang juga boleh menghidap ekzema kerana faktor genetik atau immunologik serta kecenderungan pembiakan mikrob,” katanya.

    Kulit pesakit ekzema biasanya sangat gatal, kemerahan dan kadangkala melepuh ketika mengalami serangan. Akibat kerap menggaru, kulit bukan saja semakin rosak, tetapi membolehkan bakteria Staphylococcus aureus (S. aureus) yang 95 peratus ada pada kulit penghidap ekzema atopik (permukaan), berjangkit dan membiak.

    Akibatnya, kulit bukan saja lebih berisiko menjadi kering dan rapuh, tetapi ia juga semakin sensitif kepada impak bahan kimia atau elemen lain yang menimbulkan alahan.

    “Apabila bakteria memasuki bahagian kulit yang renggang dan rosak kerana digaru, resapan toksin membuatkan kulit terus membengkak dan kegatalan yang teramat. Jangkitan ini memperlahankan lagi penyembuhan penyakit ini. Lama-kelamaan, kulit semakin bersisik tebal dan berkerak,” katanya.

    Mereka yang mengalami ekzema sering terbelenggu dalam kitaran gatal dan desakan untuk menggaru bagi suatu tempoh yang lama. Bagi merawat penyakit ini, kitaran ini harus diputuskan.

    Dr Leong berkata, ekzema boleh dikawal dengan penggunaan ubat yang dapat membantu memecahkan kitaran gatal-garu, memberikan kelegaan pantas daripada kegatalan, malah menghilangkan kelepuhan kulit dengan lebih baik.

    Beliau juga lebih mengutamakan aspek konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bagi memberi mereka pemahaman yang sewajarnya mengenai penyakit ini.

    “Kaedah yang boleh diamalkan bagi mengawal ekzema adalah dengan menyeimbangkan faktor pencetus serangan ekzema.

    “Penyakit ini tidak dapat dipulihkan, maka kawalan atau pengurusan yang baik diharap dapat mengurangkan atau memendekkan tempoh serangan, sekali gus menjadikan kanak-kanak yang lebih gembira,” kata beliau.

    Perunding Dermatologi di Hospital Hammersmith, United Kingdom, Prof Anthony Chu, berkata ekzema bukan sekadar masalah penghidapnya semata-mata, tetapi turut memberi kesan kepada persekitaran dan kehidupan keluarga itu, termasuk waktu tidur mereka. Ini disebabkan anak kecil yang menderita ekzema kerap menangis dan sukar tidur dan sekali gus turut menjejaskan perkembangan fizikal mereka.

    “Apa yang penting, ibu bapa, penjaga dan keluarga kanak-kanak perlu cekal menguruskan anak yang menghidap ekzema. Secara semula jadinya, penyakit ini akan beransur hilang apabila kanak-kanak itu menginjak dewasa.

    “Majoriti pesakit menghidapnya sebelum mencecah usia lima tahun dan 50 peratus daripadanya pula pulih apabila mencapai usia 10 tahun. Jarang pesakit terus menghidap ekzema dari kecil hingga dewasa,” katanya.

    Justeru, beliau menyarankan supaya ibu, bapa dan penjaga saling membantu dalam menguruskan anak yang menghidap ekzema dan mencari kaedah paling sesuai bagi mengurangkan ketidakselesaan yang ditanggung anak mereka.

    “Dari segi pengambilan ubat pula, ramai ibu bapa yang agak keberatan apabila diberitahu anak mereka perlu diberikan ubat yang mengandungi steroid kerana bimbangkan kesan sampingannya.

    “Tanggapan begitu sewajarnya diubah. Sapuan ubat steroid dapat membantu mengawal penyakit ini dengan baik, dengan syarat ia digunakan dengan betul berdasarkan nasihat pakar.

    “Selain itu, ibu bapa juga perlu berwaspada dalam memilih ubat. Walaupun ubat yang mungkin menjadi pilihan mereka itu berasaskan herba, tidak bermakna ia selamat diambil,” kata beliau.

    Sementara itu, Pengurus (Negara) LEO Pharma, Tan Keng Aun berkata, kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai ekzema serta memberitahu masyarakat bahawa ada harapan untuk penghidapnya mengawal penyakit ini.

    INFO: Rawatan konvensional untuk ekzema

  • Mandi setiap hari dengan produk mandian yang lembut dan merawat kulit kering

  • Gunakan pelembap pada kulit

  • Sapu ubat sapu yang mengandungi steroid atau ubat sapu penghalang calcineurin

  • Sapu antibiotik

  • Penggunaan sedatif antihistamin

    Bagaimana untuk mengurangkan kitaran gatal-garu?

  • Pastikan kuku pesakit sentiasa pendek

  • Gunakan balutan tuala basah untuk anak kecil

  • Sedatif antihistamin

  • Sapuan dengan krim emolien

  • Gunakan tuala sejuk untuk mengelak daripada menggaru

  • Sokongan psikologi

  • Wednesday 14 December 2011

    Waspadalah!

    Kanser Hati Muncul Secara Senyap

    AMAT jarang di kalangan kita memberikan perhatian dari sudut kesihatan terhadap hati walaupun ramai mengetahui penyakit yang berkaitan dengan organ terpenting itu sebenarnya lebih serius berbanding penyakit lain.
    Malah secara umumnya, ramai masih mengambil ringan betapa pentingnya organ yang terletak di belakang tulang rusuk di bahagian kiri abdomen itu.
    Menurut Pakar Perunding Onkologi, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Datuk Dr. Fuad Ismail , penyakit hati paling kronik ialah kanser hati.
    Katanya, kanser hati ataupun dipanggil hepatoma biasanya lebih lazim berlaku di negara-negara Asia.
    ”Pesakit kanser ini kebanyakannya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Ia didapati empat kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding wanita,” katanya.
    Bagaimanapun terangnya, kebanyakan pesakit tidak menyedari dijangkiti penghidap penyakit tersebut kerana simptomnya tidak berlaku serta-merta.
    Faktor risiko menghidap kanser hati termasuk jangkitan kronik virus Hepatitis B atau C yang berkait dengan sirosis (gangguan struktur hati normal oleh fibrosis) dan pembentukan nodul yang disebabkan oleh pelbagai keadaan yang memberi kesan pada hati seperti ketagihan alkohol, obesiti, diabetis dan penggunaan tembakau.
    ”Antara sebab kebanyakan pesakit berusia dalam lingkungan 40 tahun ke atas adalah kerana virus Hepatitis B mengambil masa agak lama untuk merosakkan hati dan apabila telah rosak, ia akan merebak dengan cepat,” katanya.
    Terang beliau lagi, kebanyakan kes kanser hati di peringkat awal tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala tertentu sehinggalah pesakit berada pada tahap yang serius.
    Jelas beliau lagi, kanser hati sebenarnya terbahagi kepada dua, iaitu jenis prima dan sekunder.
    ”Kanser hati prima berpunca daripada masalah di dalam hati itu sendiri iaitu kerosakan sel-sel, manakala sekunder disebabkan kanser yang merebak ke hati daripada organ lain,” ujarnya serius.
    Bagaiamanapun, Dr. Fuad memberitahu, punca utama berlakunya kanser hati prima ialah sirosis, iaitu keadaan apabila sel hati rosak disebabkan pelbagai faktor.
    ”Sebenarnya, faktor itu lebih kepada tabiat meminum arak dan disebabkan oleh jangkitan Hepatitis B dan C,” katanya.
    Selain itu katanya, penghidap penyakit heamochromatosis , iaitu zat besi yang tidak dapat dikeluarkan dari badan dan akhirnya mendap di hati, juga mempunyai risiko menghidap kanser hati.
    Ini kerana, katanya, zat besi yang tidak dapat disalur keluar akan bertakung sehingga boleh menjejaskan fungsi dan seterusnya merosakkan hati.
    Namun, risiko pesakit haemochromatosis untuk menghidap kanser hati dalam jangka masa panjang adalah kira-kira 30 peratus.
    Manakala bagi kanser hati jenis sekunder, beliau menjelaskan, ia sebenarnya berpunca daripada organ lain yang bermasalah.
    ”Ini semua kerana hati dan hempedu adalah bahagian yang paling banyak terdedah kepada kanser di bahagian lain yang sudah merebak,” katanya.
    Bagaimanapun, pesakit kanser hati masih berpeluang untuk pulih dengan syarat mesti mendapat rawatan seawal yang mungkin.
    ”Jika mereka mendapatkan rawatan awal, peluang untuk pulih dalam tempoh lima tahun berikutnya adalah kira-kira 60 peratus.
    “Tetapi jika sudah terlalu lama dan dikesan pada peringkat kritikal, harapan adalah tipis,” terangnya serius.
    Ditanya mengenai rawatan, Dr. Fuad menjelaskan doktor akan memeriksa hati yang bengkak dengan melakukan ujian darah dan x-ray.
    ”Ujian darah bertujuan melihat tindak balas hati dengan mengukur enzim yang digunakan dalam ujian itu.
    ”Sekiranya kanser hati wujud, alfafoetoprotein iaitu protein dalam darah akan meningkat. Bagi penghidap Hepatitis B dan C, ujian bagi mengesan kehadiran antigen perlu dilakukan.
    “Untuk mengesahkannya, doktor melakukan ujian imbasan bagi melihat bahagian hati yang mengalami kanser yang biasanya wujud dalam bentuk ketulan.
    ”Ini diikuti rawatan CT Scan dan Angiogram bertujuan untuk mengesan tahap serius kanser berkenaan.
    ”Selepas diagnosis berkenaan, rawatan terbaik akan dibincangkan bersama pesakit. Jika ia hanya menyerang pada satu bahagian, pembedahan dilakukan bagi membuangnya.
    “Berbanding organ lain pada tubuh manusia, hati agak unik kerana ia masih boleh berfungsi walaupun sebahagian besar sudah dibuang,” katanya.
    Rawatan lain katanya, termasuk pembedahan pemindahan hati yang diderma oleh keluarga terdekat, walaupun dalam jangka panjang ia boleh berulang semula.
    Selain itu, rawatan kimoterapi juga boleh dilakukan dengan membuat saluran di bahagian arteri dan menghalakan rawatan itu terus kepada kanser berkenaan.

    Saturday 10 December 2011

    Isu Semasa Tentang Penyakit Diabetis

    KENYATAAN AKHBAR
    KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
    “CEGAH DIABETES: BERTINDAKLAH SEKARANG”
    HARI DIABETES SEDUNIA

    14 NOVEMBER 2011
    Bilangan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes terus meningkat setiap tahun. Pada tahun 2006, dianggarkan kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa hidup dengan diabetes. Malangnya keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey atau NHMS) 2011 yang bakal diterbitkan pada bulan Disember 2011 menunjukkan bilangan ini kini telah mencapai lebih 3 juta rakyat Malaysia, hanya dalam tempoh 5 tahun sahaja. Apa yang lebih merisaukan Kementerian Kesihatan dan saya sendiri adalah bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi tetapi masih belum diperiksa oleh doktor, iaitu kira-kira 2 juta individu dewasa. Ini menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.
    Diabetes adalah satu penyakit yang senyap (silent disease) pada peringkat awal. Saya ingin menekankan bahawa majoriti individu dengan diabetes tidak mengalami sebarang gejala, kadang-kala sehingga 7-10 tahun dari penyakit mula terjadi. Namun begitu, jika individu tersebut menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap, keputusan gula dalam darah yang tinggi mampu dikesan dari tahun pertama penyakit diabetes bermula. Jika diabetes dibiarkan berlanjutan tanpa dikesan, penyakit ini lebih sukar untuk dikawal dan risiko komplikasi diabetes seperti kebutaan, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk adalah tinggi.
    Selaras dengan tema Hari Diabetes Sedunia di peringkat global, “Act on Diabetes Now”, iaitu “Cegah Diabetes: Bertindaklah Sekarang”, saya ingin menasihati semua rakyat Malaysia mengenai faktor-faktor risiko utama diabetes:
    1. Mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap diabetes
    2. Berlebihan berat badan atau obes (BMI >23.0 kg/m2)
    3. Menghidap hipertensi
    4. Mempunyai tahap kolesterol yang tinggi
    5. Gaya hidup yang sedentari atau tidak aktif
    6. Bagi wanita yang mempunyai sejarah diabetes semasa mengandung (atau gestational diabetes)
    Sekali lagi, saya ingin menyarankan semua rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun dan ke atas untuk menjalani ujian saringan faktor risiko NCD (non-communicable disease atau penyakit tidak berjangkit) setiap tahun. Ujian saringan asas ini merangkumi pemeriksaan tekanan darah, aras gula dan kolesterol dalam darah, pemeriksaan BMI (body mass index) dan ukurlilit pinggang. Namun begitu, jika anda mempunyai sebarang faktor risiko di atas, maka anda perlu mula menjalani ujian saringan seawal umur 20 tahun.
    Perkhidmatan saringan bagi faktor risiko NCD untuk individu-individu yang sihat terdapat di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia. Selain dari itu, perkhidmatan saringan turut ditawarkan semasa kebanyakan majlis atau program di dalam komuniti anjuran Kementerian Kesihatan, lain-lain Agensi Kerajaan dan juga pihak swasta.
    Dalam pada itu, tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang telah disahkan mengidap diabetes dan penyakit NCD yang lain juga tidak memuaskan. Data Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa bagi penghidap diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan KKM, dianggarkan kira-kira hanya satu dari lima pesakit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik (keputusan ujian HbA1c kurang dari 6.5%); dua dari lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah yang optimum; satu dari empat pesakit mencapai sasaran tahap kolesterol yang baik; dan hanya satu dari enam pesakit berada di tahap BMI yang ideal. Penghidap diabetes yang mendapatkan rawatan perlu mencapai sasaran kawalan yang baik bagi mengurangkan risiko kejadian komplikasi akibat diabetes seperti gangrene dan amputasi, septicaemia and kegagalan buah pinggang. Selain dari memakan ubat atau menggunakan insulin mengikut nasihat doktor, semua penghidap diabetes perlu mempelajari dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sesuai mengikut tahap penyakit yang dihadapi serta mengamalkan aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
    Tanggungjawab melindungi kesihatan anda dan keluarga anda terletak di tangan anda sendiri. Bertindaklah sekarang.
     
    DATO’ SRI DR HASAN BIN ABDUL RAHMAN
    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

    14 November 2011